Mayat tiga beranak ditemui dalam rumah
Dari: Utusan Malaysia, 22 Mei.
![]() |
|
ANGGOTA polis mengangkat mayat tiga beranak yang ditemui berulat dan berbau di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, semalam.
|
KAJANG 22 Mei - Mayat tiga beranak ditemui dalam keadaan berulat dan berbau di rumah mereka di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih dekat sini hari ini.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Kumariswari, 63, ditemui terbaring dalam bilik tidur manakala dua anak perempuannya, K. Satha Dewi, 44, dan K. Rivati, 43, masing-masing di dalam tandas dan di ruang tamu.
Mereka ditemui kira-kira pukul 9 pagi oleh seorang jirannya yang mencurigai sesuatu selepas terhidu bau busuk dari rumah mangsa sejak beberapa hari lalu dan menghubungi polis untuk mendapatkan kepastian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood berkata, polis percaya kesemua mangsa itu telah mati lebih seminggu lalu.
Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan pecah rumah dan beliau menolak kemungkinan kejadian itu berunsur jenayah.
"Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemui kesan kecederaan atau pendarahan pada tubuh ketiga-tiga mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).
"Siasatan awal, kita percaya mangsa terminum cecair beracun berdasarkan penemuan satu tin. Tin itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis," ujarnya.
Mayat kesemua mangsa katanya, dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Sementara itu, menantu Kumariswari, K. Vasugi, 42, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kali terakhir dia berjumpa mangsa adalah tiga bulan yang lalu.
"Ibu mertua saya seorang yang berdikari dan tidak pernah menyusahkan kami sebelum ini," katanya yang menetap di Mantin, di sini.
Menurutnya, anak lelaki mangsa, K. Siva, 45, yang kini bekerja di Dubai telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Dalam pada itu, seorang jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Liang Guan, 67, berkata, kali terakhir dia berjumpa Kumariswari adalah kira-kira sebulan lalu.
"Waktu itu dia ketuk pintu belakang rumah saya. Dia cakap dia sudah lima hari tak makan dan minta tolong hubungi seseorang. Waktu itu saya cuba hubungi nombor tersebut tapi tak berjaya," ujarnya.
Katanya, dia mula mencurigai sesuatu apabila tidak melihat kelibat mana-mana anak mangsa sejak beberapa hari yang lalu.
"Tambahan pula apabila terhidu bau kuat dari belakang rumah mangsa. Apabila saya cuba melihat dari tingkap belakang rumah mangsa, saya dapat perhatikan banyak ulat dan lalat berterbangan, " katanya yang kemudiannya menghubungi polis.
-- myUAE Times


